Trip To Padang (2)

Perjalanan Ke Bukit Tinggi

Pak Usman memang seorang professional sebagai tourist guide di sini. Saffira Tour telah membina hubungan dengan Tabung Haji Travel dalam tempoh yang lama. Setelah bagasi diletakkan di bahagian belakang bas, Pak Usman mengucapkan selamat datang kepada kami dan menyatakan bahawa kami akan terus menuju ke Bukit Tinggi yang merupakan antara destinasi wajib jika anda datang ke Padang.

Perut terasa lapar memandangkan bangun pukul 4 pagi. Nasib baik juga Pak Usman mengalas perut kami dengan air mineral dan juga kek lapis Padang yang sedap.

Perjalanan kami ke Bukit Tinggi mengambil masa lebih kurang dua jam walaupun hanya 80km memandangkan jalan raya di Padang yang sempit dan berbukit bukau. Tetapi apa yang menyeronokkan sepanjang perjalanan kami mata kami dibersihkan dengan suasana hijau yang sangat mendamaikan.

Padang dikelilingi oleh bukit-bukau dan gunung-ganang menjadikan udaranya lebih sejuk dan nyaman. Kami agak teruja apabila Pak Usman memberitahu destinasi pertama kami adalah ‘air terjun muda setahun’. Kami menggambarkan airnya pasti menyejukkan dan segar. Dalam perjalanan kami tidak puas untuk melihat kiri dan kanan, kagum dengan keindahan alam yang Allah ciptakan untuk manusia. Dalam lebih kurang 30 minit perjalanan kami tiba ke destinasi pertama…(to be continue)

Trip To Padang (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tiba di Padang

Awal Oktober yang lepas saya berpeluang mengikuti satu trip bersama syarikat ke Padang Sumatera Barat. Alhamdulillah walaupun pada awalnya tidak dapat difikirkan apakah yang menarik di Padang, namun setelah trip berakhir ianya membuka minda dan mata bahawa memang benar banyak berjalan luas pemandangan.

Padang merupakan ibu negeri Sumatera Barat mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri yang perlu anda fahami. Budaya dan adat penduduk Indonesia juga mula saya fahami sekalipun perjalanan ke sana hanyalah dalam pakej 4 hari 3 malam. Tidak cukup sebenarnya untuk dinilai dalam tempoh yang singkat.

Perjalanan dari LCCT ke Lapangan Terbang Minangkabau sebenarnya hanyalah 1 jam 10 minit, lebih dekat dari perjalanan LCCT ke Sabah atau Sarawak. Jadi anda sebenarnya berpeluang untuk ke Padang melihat sendiri keunikan masyarakat dan budaya di sana. Flight Airbus Air Asia  AK470 memulakan penerbangan ke Padang pada pukul 7.50 pagi dan tiba lebih kurang pukul 8.00 pagi waktu tempatan.

Cinta pandang pertama anda akan berputik apabila melihat kehijauan bumi Padang yang menghijau dan segar. Cuaca di sana juga nyaman dan sejuk memberikan sedikit perbezaan dengan cuaca di Malaysia yang agak panas. Selesai urusan imigresen di airport, kami disambut oleh Pak Usman yang merupakan pemandu pelancong sepanjang 4 hari kami di sini. Pak Usman menyambut baik kedatangan kami. Bekerja selama 15 tahun sebagai pemandu pelancong di Saffira Tour Indonesia pastinya kami amat senang dan teruja bersama Pak Usman…(to be continue)

Aksi Lena Cahaya Hati

Perutusan Aidilfitri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Di ambang Ramadhan kali ini terasa pengisiannya jauh lebih berbanding pada tahun lepas. Seboleh mungkin bulan Ramadhan ini mengambil ruang untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin. Bagi sesetengah individu raya lebih dipandang hebat berbanding Ramadhan yang barakah. Sedari atau tidak kita lebih teruja menghitung bilakah ketibaan Aidilfitri tanpa mengambil kira Ramadhan yang bakal menghilang.

Amat jauh kedudukan kita berbanding dengan Rasulullah menyambut Ramadhan. Syawal adalah rangkaian seterusnya untuk mengaplikasikan kebaikan Ramadhan. Bagi yang menghayati bulan ini, Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya pasti jumlah dan kualiti ibadahnya tidak akan berkurang. Tetapi bagi yang tidak, jangankan selepas Ramadhan, dalam bulan ini pun mereka tidak mengendahkan untuk melakukan kemungkaran. Nauzubillah.

Takbir bakal berkumandang sebagai semboyan kemenangan jihad dalam diri. Seharusnya takbir dilaungkan bersemangat bukan mendayu-dayu. Keagungan takbir tidak boleh disambut dengan kesedihan tetapi semangat untuk terus memperbaiki diri. Bertakbirlah jika anda telah memulakan perubahan diri. Bertakbirlah bahawa anda akan terus mengubah diri ke arah kebaikan.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11

Di kesempatan ini saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada anda semua yang mengunjungi blog ini. Maafkan segala kesalahan bahasa yang ditulis jika ada menyinggung perasaan sesiapa. Bagi yang mengenali diri saya, boleh datang ke rumah pada hari raya nanti di Besut Terengganu atau di Raub Pahang.

Kad raya kredit kepada:Kadviral.com

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11

Tip Penulisan Blog (3)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Mulakan menulis hari ini

Satu tip penting yang perlu anda pelajari untuk menulis posting ialah tulis posting pertama anda sekarang. Jangan fikir apa yang anda ingin tulis. Jangan pula takut posting pertama anda teruk. Apabila anda sudah mula menulis, posting pertama menjadi inspirasi untuk posting seterusnya. Itu adalah kuncinya.

Tiada posting pertama yang sempurna kerana menulis di blog adalah sebahagian kemahiran yang perlu anda asah setiap hari. Jangan fikir tentang idea yang buntu. Posting pertama akan merangsang anda untuk menulis dan mendapat idea untuk posting seterusnya.

Langkah pertama menulis memadai anda menyatakan tentang diri anda dalam bentuk penulisan. Boleh juga ceritakan konsep blog anda supaya anda sentiasa ingat matlamat penulisan anda. Selamat mencuba.

Santai Di Ice Room

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Minggu lepas pulang dari terawih, tengok wajah isteri yang mengantuk tiba-tiba datang idea ajak santai di Ice Room yang terletak di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi. Ingatkan bulan Ramadhan tak ramai orang, tetapi lebih ramai dari yang biasa. Maklumlah bulan Ramadhan dah tak dapat makan aiskrim waktu siang jadi waktu malam masih ada ruang untuk santai bersama keluarga.

Dengan warna tema hijau putih memberikan pandangan yang berbeza jika anda berkunjung ke sini. Memberikan satu pandangan santai dan rileks. Sangat sesuai untuk perbincangan ringan. Bagusnya makanan ringan seperti noodles juga ada disediakan di sini.

Minuman yang komersial dan pelik-pelik juga boleh anda cuba. Tapi saya hanya sekadar memesan segelas air roselle panas yang sangat menyegarkan.


Anda tengoklah sendiri aiskrimnya. Memang lembut dan sedap. Dan semangkuk aiskrim yang anda pesan boleh makan 2-3 orang, jadi jimat belanja. 1 menu aiskrim dalam RM7-RM8 mengikut jenis dan citarasa.

Apa Yang Perlu Suami Lakukan Untuk Isteri (2)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berikan penghargaan

Tahukah anda berapa ramai suami yang langsung tak endah kesusahan isteri yang telah banyak berkorban dalam keluarga? Berapa ramai suami yang sepanjang perkahwinannya tidak pernah mengungkapkan penghargaan kepada isterinya? Sedih apabila situasi ini berlaku dalam kehidupan suami isteri. Pastinya istana kebahagiaan tidak akan terbina.

Tanya diri anda berapa kali anda menunjukkan penghargaan kepada isteri anda? Dan apa yang anda lakukan untuk menghargai pasangan anda? Sukar untuk dijawab jika anda tidak pernah melakukannya. Isteri ibarat kaca yang mudah pecah. Mereka tidak meminta penghargaan tetapi janganlah pula suami kedekut memberi. Penghargaan menjadikan rumahtangga lebih kukuh dan memahami walaupun penghargaannya mungkin hanyalah sekadar ungkapan kasih sayang.

Langkah-langkah praktikal yang anda mampu lakukan:

  • Ucapkanlah paling kurang perkataan terima kasih atas pengorbanan yang telah dilakukan
  • Jika isteri dah masak penat-penat, apalah salahnya anda pula tolong basuh pinggan
  • Berada di sisi isteri bila isteri kurang sihat walaupun selesema atau penyakit kecil.
  • Berikan pendapat bila isteri minta pandangan anda sekalipun masalahnya kecil. Kecil pada anda tetapi tidak pada isteri.
  • Berikan pelukan dan ciuman setiap hari. Jangan bila perlu sahaja baru nak peluk.
  • Pegang tangan isteri bila berjalan di hadapan orang lain kerana itu sangat membanggakan bagi seorang isteri.
  • Ambil berat keluarga isteri anda.
  • Ingati tarikh-tarikh penting anda bersama. Bahkan ingatkan juga tarikh lahir anak-anak. Ingatan anda pada semua ini bermakna anda ambil berat tentang isteri anda.
  • Kemudian jika anda mempunyai tahap kewangan yang berlebihan bolehlah fikir untuk bawa isteri melancong ke mana-mana yang dinginkannya atau mungkin kerjakan umrah bersama.
  • Belikan tanda hati jika anda out station walaupun pada barang yang kecil dan murah.
  • Tolong jaga anak bila anda ingin isteri masak untuk anda.
  • Berikan pujian bahawa isteri anda seorang yang cantik.
  • Lagi hebat bila anda boleh mengendalikan tugas-tugasnya seperti menjaga anak, memasak, membasuh, gosok baju sekiranya isteri anda sakit.

Previous Older Entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.