Mendamba Cahaya Ramadhan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Ramadhan Karim untuk sahabat semua. Esok kita mula melangkah masuk ke dalam bulan yang penuh barakah. Bermakna 30 hari di bulan ini perlu diisi penuh sebelum expired. Tahun ini tahun juga berbeza menghadapi Ramadhan. Tahun lepas bergelar seorang suami, tetapi tahun ini bergelar seorang bapa juga. Dua amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin.

“Ya Allah dengan keberkatan Ramadhan berikanlah cahaya kepada kehidupan kami. Berikanlah kekuatan kepada diri kami untuk membentuk mukmin terbaik kepadaMu.”

Setahun bekerja tanpa mengimbangi sebaik mungkin prinsip yang Allah telah tetapkan. Kehidupan rasanya ralat kerana tidak mendapat motivasi sebaik mungkin. Setiap manusia perlukan inspirasi dan motivasi dalam kerja, ibadah dan dan juga keluarga. Semoga kehidupan selepas Ramadhan tahun ini akan lebih bermakna dan ada perubahan yang lebih baik amin.

Tip-Tip Penampilan Diri (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bau badan

  • Perkara mudah yang paling berpengaruh untuk anda lakukan ialah menjaga penampilan diri. Mata yang memandang penampilan kemas pastinya akan berbeza menilai jika anda tidak menjaga imej dan perwatakan diri.
  • Salah satu masalah yang perlu anda fikirkan tentang penampilan diri ialah adakah badan anda berbau? Lebih-lebih lagi dalam situasi bekerja pastinya tidak menimbulkan keselesaan pada diri anda apabila berhadapan dengan rakan sekerja atau juga klien anda.
  • Langkah terbaik ialah pastikan anda memakai deodorant yang dapat mengawal bau badan anda.
  • Jaga pemakanan. Makan yang tidak terancang juga boleh menyebabkan bau badan terutama banyak makan bawang putih dan makan berempah.
  • Bersihkan badan sebaik mungkin ketika mandi. Tidak salah untuk terapi sauna agar dapat hilangkan kekotoran melalui peluh yang keluar.
  • Semburan pewangi badan juga menjadi pelengkap menghilangkan bau badan terutama ketika berpeluh pada siang hari. Tetapi jangan pula terlalu banyak sehingga orang lain terasa pening dan loya untuk mendekati.

Bagaimana Membina Watak Anak (2)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Berikan nama yang baik

Proses mendidik anak bukan semudah yang disangkakan. Membesarkan anak tugasnya lebih mudah untuk dilaksanakan berbanding mendidik. Oleh kerana itu mendidik adalah sebagai salah satu cara untuk membina watak anak-anak apabila mereka sudah besar nanti.

Selalunya ibu bapa terlepas pandang dalam memberikan nama yang terbaik kepada anak-anak. Nama yang baik adalah langkah awal untuk memberikan watak kepada anak-anak. Setiap panggilan nama sebenarnya merupakan intipati doa yang tidak kita ketahui nilainya. Panggilan seharian adalah doa untuk memberikan watak kepada anak-anak kita. Ayuh kita melihat bagaimana masyarakat arab bagusnya mereka meletakkan nama pada anak-anak mereka.

Mereka meletakkan nama yang pendek tetapi maknanya baik dan senang untuk dipanggil. Nama-nama yang baik adalah nama-nama yang mempunyai semangat yang baik, makna doa, puji-pujian dan juga mungkin bersifat kepahlawanan. Lihat sahaja nama-nama sahabat Rasulullah seperti Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib, dan Rasulullah yang membawa maksud ‘yang terpuji’. Jika nama-nama baik diberikan pada anak kemudian selalu pula memanggil dengan nama itu pastinya perlahan-lahan watak anak anda akan terbentuk.

Hakikatnya hari ini trend masyarakat kita suka nama anak yang panjang-panjang. Kadang-kadang sampai 5 patah perkataan, tetapi akhirnya panggilan harian hanyalah angah, acik dan sebagainya. Paling baik untuk berikan nama anak tanyalah pada orang-orang yang berpendidikan agama makna nama anak lebih jelas dan tidak mengarut-ngarut.

Bila Ada Rasa Tidak Puas Hati

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anastasia

Salam. Saya baru je bekerja setahun. Saya jumpa bos yang mengarah untuk kebaikan dia. Hari ini dia cakap macam ni, esok hari cakap lain. Walaupun dah guna cara berhemah dia tetap akan perbetulkan kita. Dia mahu kita buat yang terbaik. Bila kita bagi yang terbaik dan nampak keje kita bagus. Dia tak leh lak nak terima kita lebih. Saya ni jenis mengikut kata sanggup kerja sampai tidur pukul 5 pagi untuk siapkan tugasan tapi sekecil-kecil kelemahan akan dicari. Bila buat tak reti mendesak untuk kita ambik port. Baru bagi arahan 5 minit dah tanya kerja dah siap belum. Saya memang jenis tak reti nak mengampu, bukan diri saya. Apapun saya bertahan sebab nk dapatkan kerjaya ni susah sangat ramai lagi diluar sana nak kan kerja ni.

Terima kasih kepada Anastasia kerana berkongsi kisah ini. Saya copy entri ini dari blog Motivasi Kerja untuk perkongsian anda semua. Bos seumpama ini tidak akan mengembangkan potensi diri dalam diri anda. Ada waktunya perlu tegaskan pendirian anda jika anda berada di landasan yang tepat. Bos seumpama inilah yang akan mengundang situasi tidak sihat di dalam organisasi. Cara terbaik beranikan diri untuk berdepan dan terangkan apa yang dirasakan oleh anda.

Jangan terus memendam perasaan kerana itu semua akan menjadi barah dalam diri anda. Jika bos tidak dapat menerima teguran baik anda bermakna anda tidak akan dapat memulihkan keadaan jika anda terus bekerja di situ. Melainkan anda bersedia untuk terus mendiamkan diri dan sanggup terus dimarahi.

Bagaimana Membina Watak Anak Anda (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setiap ibu dan ayah pastinya sangat mendambakan anak soleh, mendengar nasihat ibu bapa dan tahu menghormati orang yang lebih tua. Watak anak sebegini perlu disemai dan diterap sejak dari kecil lagi. Bukan apabila sudah dewasa barulah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka tahu berfikir dan boleh menilai sebagaimana yang mereka inginkan.

Mendidik anak memerlukan kesabaran. Mahu anak yang hebat anda perlu membina watak hebat itu dalam diri mereka sejak mereka dalam kandungan lagi. Saya berikan contoh jika anda ingin anak yang dekat dengan Al-Quran maka anda boleh membina watak ini dengan banyakkan mendengar dan membaca Al-Quran. Banyakkan menghayati Al-Quran dengan membaca terjemahan dan tafsirnya. Insya Allah anak akan mempunyai kecenderungan ke arah itu.

Jika anda ingin anak anda hebat dalam matematik, banyakkan membuat latihan matematik ketika isteri anda dalam kandungan kerana sedikit sebanyak kecenderungan itu akan turun pada anak anda. Jadi begitulah juga dengan sikap dan emosi anak-anak anda. Jika inginkan mereka jadi anak yang soleh dan mendengar nasihat anda, terlebih dahulu anda perlu menjadi seperti itu. Jadilah seorang yang penyabar dahulu, barulah anak anda akan mengikuti kesabaran anda. Jadilah seorang menghormati ibu bapa jika anda mengharapkan anak anda menghormati anda apabila mereka dewasa.

Watak anak adalah dari watak ibu dan bapa mereka. Benarlah apabila orang-orang tua selalu memberikan kiasan dalam pepatah melayu bapa borek anak rintik, bermakna anak-anak akan mengikut watak dari ibu dan bapa mereka.