Perutusan Aidilfitri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Di ambang Ramadhan kali ini terasa pengisiannya jauh lebih berbanding pada tahun lepas. Seboleh mungkin bulan Ramadhan ini mengambil ruang untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin. Bagi sesetengah individu raya lebih dipandang hebat berbanding Ramadhan yang barakah. Sedari atau tidak kita lebih teruja menghitung bilakah ketibaan Aidilfitri tanpa mengambil kira Ramadhan yang bakal menghilang.

Amat jauh kedudukan kita berbanding dengan Rasulullah menyambut Ramadhan. Syawal adalah rangkaian seterusnya untuk mengaplikasikan kebaikan Ramadhan. Bagi yang menghayati bulan ini, Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya pasti jumlah dan kualiti ibadahnya tidak akan berkurang. Tetapi bagi yang tidak, jangankan selepas Ramadhan, dalam bulan ini pun mereka tidak mengendahkan untuk melakukan kemungkaran. Nauzubillah.

Takbir bakal berkumandang sebagai semboyan kemenangan jihad dalam diri. Seharusnya takbir dilaungkan bersemangat bukan mendayu-dayu. Keagungan takbir tidak boleh disambut dengan kesedihan tetapi semangat untuk terus memperbaiki diri. Bertakbirlah jika anda telah memulakan perubahan diri. Bertakbirlah bahawa anda akan terus mengubah diri ke arah kebaikan.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11

Di kesempatan ini saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada anda semua yang mengunjungi blog ini. Maafkan segala kesalahan bahasa yang ditulis jika ada menyinggung perasaan sesiapa. Bagi yang mengenali diri saya, boleh datang ke rumah pada hari raya nanti di Besut Terengganu atau di Raub Pahang.

Kad raya kredit kepada:Kadviral.com

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11

Santai Di Ice Room

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Minggu lepas pulang dari terawih, tengok wajah isteri yang mengantuk tiba-tiba datang idea ajak santai di Ice Room yang terletak di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi. Ingatkan bulan Ramadhan tak ramai orang, tetapi lebih ramai dari yang biasa. Maklumlah bulan Ramadhan dah tak dapat makan aiskrim waktu siang jadi waktu malam masih ada ruang untuk santai bersama keluarga.

Dengan warna tema hijau putih memberikan pandangan yang berbeza jika anda berkunjung ke sini. Memberikan satu pandangan santai dan rileks. Sangat sesuai untuk perbincangan ringan. Bagusnya makanan ringan seperti noodles juga ada disediakan di sini.

Minuman yang komersial dan pelik-pelik juga boleh anda cuba. Tapi saya hanya sekadar memesan segelas air roselle panas yang sangat menyegarkan.


Anda tengoklah sendiri aiskrimnya. Memang lembut dan sedap. Dan semangkuk aiskrim yang anda pesan boleh makan 2-3 orang, jadi jimat belanja. 1 menu aiskrim dalam RM7-RM8 mengikut jenis dan citarasa.

Tersepit

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sepintas lalu tanganku mula menaip apa yang terfikir di benak. Dalam keinginan ingin meneruskan penulisan ini hati juga seakan menahan dari terus berbuat demikian. Mengapa? Ya kerana tersepit. Lumrah kehidupan selalunya kita semua sering berada dalam keadaan tersepit.

Salah siapa? Salahkan diri yang memilih jalan ingin disepit? Mungkin juga. Tetapi jika sudah tahu masa depan akan begini pastinya aku tidak memilih laluan seumpama ini. Hati semakin kuat memasang impian tetapi fikiran pula bergolak mengatakan bahawa tidak semudah itu impian yang ingin kau teruskan. Lantas ikatan semangat kembali longgar. Terlerai seketika memikirkan diriku yang tersepit ini…

Rumah Saya Dipecah Masuk

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Semalam adalah hari bersejarah juga dalam hidup saya. Beginilah ujian kehidupan terhadap manusia supaya sedar bahawa nikmat bukanlah milik mutlak manusia.

Sewaktu tiba di rumah jam lebih kurang 7.05 malam, saya sedikit hairan kerana melihat rumah yang tidak dikunci (kerana kunci mangga sudah hilang). Saya tidak terfikir langsung bahawa rumah akan dipecah masuk. Kerana ragu-ragu saya bertanyakan pada isteri sama ada dia terlupa mengunci rumah. Tetapi melihatkan kesan mangga yang bertaburan kerana dikopek pencuri.

Melangkah masuk sahaja ke dalam rumah, saya lihat tiada apa-apa yang bersepah. Namun saya segera melihat dua buah laptop yang berada di dalam rumah. Memang benar, dua-dua lesap. Lantas saya membuka almari buku, dua tabung syiling saya yang hampir penuh juga lesap. Akhirnya saya melihat telefon bimbit lama saya yang juga tersimpan dalam almari tersebut, memang hilang juga.

Berpatah kembali ke grill rumah, saya melihat kesan kopek tersebut sekali lagi. Dalam hati saya mengatakan pencuri ni masih amatur memandangkan cara dia mengopek pintu rumah saya.

Tanpa berfikir panjang saya segera ke tingkat bawah, terjumpa jiran saya Abang Wan. “Bang, rumah saya kena pecah masuk.” Saya terus menuturkan kepada Abang Wan tanpa berfikir panjang lagi. Abang Wan adalah bekas Setiusaha Persatuan Penduduk Flat Seri Tanjung. Dengan segera beliau terus menghubungi En. Amran, Pengerusi Persatuan Penduduk. Dalam lebih kurang 10 minit menanti, En. Amran tiba dan segera ke rumah saya. Dalam edisi siasat sambil mencari kesan lain yang ada, akhirnya kami menjumpai kesan kasut dalam rumah. En. Amran menceritakan bahawa kejadian pecah masuk di rumah saya adalah yang kelima berlaku dalam minggu yang sama. Dan kes di rumah saya adalah kes pertama melibatkan rumah berkeluarga.

Lepas Isyak saya sekeluarga segera ke Balai Polis Kajang untuk buat laporan. Dalam episod laporan dan soal siasat mengambil masa lebih kurang satu jam, 2 orang anggota polis terus ke rumah saya untuk siasatan lebih lanjut. Tetapi agak terkilan juga pihak polis hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk mencari kesan-kesan yang lain. Dengan mudah pihak polis memberitahu saya, “Minta maaf encik, rumah ni susah kami nak dapatkan kesan penuh cap jari sebab rumah tak berselerak. Kesan kasut yang encik cakap ni pun kami tak boleh kesan apa-apa.”

Hati saya agak kecewa kerana dengan soal jawab yang lama, hanya itu pihak polis berikan pada saya. Anda fikirkanlah!

Proses Pengurusan Diri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Lama tidak menulis di blog peribadi ini. Bukan tak mahu mencoretkan sesuatu, bahkan banyak sekali yang ingin dikongsikan kepada teman-seman semua. Namun kekangan begitu banyak menghalang untuk mencoretkan apa yang telah sedia tertulis di hati ini.

Sehingga hari ini terus terang saya katakan bahawa saya masih dalam proses mengurus diri untuk memenuhi komitmen-komitmen kerja, keluarga, impian peribadi, peluang kerjaya dan hal-hal lain. Bukan mudah untuk mengurus diri dalam sesuatu hal yang baru pastinya memerlukan banyak input untuk lebih memahaminya. Kerjaya sekarang banyak sekali menuntut diri untuk keluar dari rumah sememangnya sedikit sukar untuk mengisi posting harian di dua blog kesayangan saya ini.

Jawatan sebagai bapa dan suami pula pastinya dipenuhi memandangkan baru dua bulan lebih menerima kehadiran insan baru. Sangat seronok tetapi saya perlu lebih mengurus diri agar lebih dapat meringankan kerja-kerja rumah isteri tercinta.

Bila teringatkan misi tahun baru hari tu, perubahan terbaru perlu dilakukan kerana sekarang sudah masuk separuh untuk 2010. Teman-teman pula bagaimana? Tahniah bagi yang sudah mencapai kejayaan misi-misi peribadi anda. Doakan saya pula untuk berjaya sebelum masuk tahun hadapan.

Seminggu Yang Begitu Mencabar Fizikal

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Rasa kekok juga menghadapi seminggu yang mencabar. Terasa macam ada sesuatu yang hilang apabila tidak dapat menulis di ruang ini. Namun komitmen masa, kerja dan keluarga pastinya itulah yang perlu diutamakan.

Kursus pada 21-22 April 2010

Sepertia biasa kerjaya sebagai konsultan akan memberikan komitmen dalam membangunkan modal insan diri dan orang lain dalam kursus-kursus motivasi yang dikendalikan oleh syarikat tempat saya bekerja. Kursus dua hari satu malam di Excel Training Resort dengan jumlah 140 peserta penjawat awam, alhamdulillah berakhir dengan baik sekali. Peserta pun nampak puas hati! Perkongsian hati ke hati pastinya akan beroleh hasil yang baik.

Pulang ke Besut

Kursus berakhir lebih kurang pukul 1.oo petang. Kemas barang-barang kursus, makan tengah hari dan post-mortem akhirnya membawa kepada pukul 4.oo petang juga. Ikutkan fizikal memang tak larat nak memandu dari Bangi – Besut yang memakan masa lebih kurang 7 jam. Kerana rindu pada isteri dan anak, semangatkan juga untuk memandu. Dah tiga minggu tinggalkan isteri dan anak kerana masih dalam tempoh pantang bersalin. Bukan main lagi rindunya. Biasalah baru bergelar ayah pastinya ini adalah ujian emosi yang hebat.

Perjalanan bermula 4.oo petang, saya tiba di rumah mertua saya dalam pukul 10.30 malam. Kalau tak silap berhenti sekali sahaja untuk jamak solat Maghrib dan Isyak. Nasihat saya pada anda kalau nak musafir jauh jangan memandu seorang diri kerana bahaya jika anda mengantuk. Saya sentiasa beringat tentang ini.

Seronok dapat jumpa keluarga.

Menuju ke Raub, Pahang

Sebenarnya saya pulang ke Besut untuk bawa isteri dan anak ke rumah ibu saya memandangkan dua minggu lagi isteri saya akan kembali bekerja. Baki cuti bersalin ingin dihabiskan di rumah ibu saya di Raub. Dari Besut saya kembali memandu ke Raub. Perjalanan mengambil masa 5 jam. Alhamdulillah saya sangat menikmati kepenatan ini kerana isteri dan anak ada bersama.

Jumaat di Raub memberikan ruang masa untuk rehat satu hari sebelum Ahad kembali memandu ke Bangi. Isnin kembali bekerja.

Aku Dan Sesuatu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Merawat hati bukan mudah. Seketul daging yang begitu lembut dan sifatnya berbolak balik adalah paling sukar untuk dijaga dan dipujuk. Bila sekali terguris lukanya pasti mengambil masa yang lama untuk sembuh. Entah mengapa sehari dua ini hati asyik tertanya-tanya apa yang akan aku lakukan untuk masa depan diri dan keluarga. Bekerja umpama mendapatkan segunung permata, tetapi sebenarnya hanya untuk sesuap nasi. Bukan mudah mengharungi hidup hanya dengan sesuap nasi kerana kehidupan perlu diteruskan jua sekalipun pahit.

Semalaman juga memikirkan apa yang perlu dilakukan. Diluah mati ibu, nak ditelan mati bapak. Ingin dikongsikan rasanya akan menimbulkan salah faham sahaja nanti. Aku mula mempelajari sesuatu dari kerja. Sampai masanya aku perlu fikirkan masa depan yang lebih baik untuk keluarga. Walaupun mungkin sukar menghadapi kenyataan namun sudah tiba masanya membuat perancangan untuk diri dan masa depan keluarga. Hati kecil bertanya juga adakah pengalaman kerja aku sekarang belum cukup untuk melayakkan aku mendapat yang lebih baik. Mungkin benar, harga dirimu hanya sebanyak nilaian itu.

Wahai hati fikirkanlah sesuatu..

Previous Older Entries