Tersepit

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sepintas lalu tanganku mula menaip apa yang terfikir di benak. Dalam keinginan ingin meneruskan penulisan ini hati juga seakan menahan dari terus berbuat demikian. Mengapa? Ya kerana tersepit. Lumrah kehidupan selalunya kita semua sering berada dalam keadaan tersepit.

Salah siapa? Salahkan diri yang memilih jalan ingin disepit? Mungkin juga. Tetapi jika sudah tahu masa depan akan begini pastinya aku tidak memilih laluan seumpama ini. Hati semakin kuat memasang impian tetapi fikiran pula bergolak mengatakan bahawa tidak semudah itu impian yang ingin kau teruskan. Lantas ikatan semangat kembali longgar. Terlerai seketika memikirkan diriku yang tersepit ini…

Mendamba Cahaya Ramadhan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Ramadhan Karim untuk sahabat semua. Esok kita mula melangkah masuk ke dalam bulan yang penuh barakah. Bermakna 30 hari di bulan ini perlu diisi penuh sebelum expired. Tahun ini tahun juga berbeza menghadapi Ramadhan. Tahun lepas bergelar seorang suami, tetapi tahun ini bergelar seorang bapa juga. Dua amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin.

“Ya Allah dengan keberkatan Ramadhan berikanlah cahaya kepada kehidupan kami. Berikanlah kekuatan kepada diri kami untuk membentuk mukmin terbaik kepadaMu.”

Setahun bekerja tanpa mengimbangi sebaik mungkin prinsip yang Allah telah tetapkan. Kehidupan rasanya ralat kerana tidak mendapat motivasi sebaik mungkin. Setiap manusia perlukan inspirasi dan motivasi dalam kerja, ibadah dan dan juga keluarga. Semoga kehidupan selepas Ramadhan tahun ini akan lebih bermakna dan ada perubahan yang lebih baik amin.

Tip-Tip Penampilan Diri (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bau badan

  • Perkara mudah yang paling berpengaruh untuk anda lakukan ialah menjaga penampilan diri. Mata yang memandang penampilan kemas pastinya akan berbeza menilai jika anda tidak menjaga imej dan perwatakan diri.
  • Salah satu masalah yang perlu anda fikirkan tentang penampilan diri ialah adakah badan anda berbau? Lebih-lebih lagi dalam situasi bekerja pastinya tidak menimbulkan keselesaan pada diri anda apabila berhadapan dengan rakan sekerja atau juga klien anda.
  • Langkah terbaik ialah pastikan anda memakai deodorant yang dapat mengawal bau badan anda.
  • Jaga pemakanan. Makan yang tidak terancang juga boleh menyebabkan bau badan terutama banyak makan bawang putih dan makan berempah.
  • Bersihkan badan sebaik mungkin ketika mandi. Tidak salah untuk terapi sauna agar dapat hilangkan kekotoran melalui peluh yang keluar.
  • Semburan pewangi badan juga menjadi pelengkap menghilangkan bau badan terutama ketika berpeluh pada siang hari. Tetapi jangan pula terlalu banyak sehingga orang lain terasa pening dan loya untuk mendekati.

Apa Yang Perlu Suami Lakukan Untuk Isteri?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bantu isteri

Kepada bakal-bakal suami satu perkara penting yang perlu difahami ketika mana anda bakal menjadi ketua keluarga bahawa peranan suami bukan sekadar mencari nafkah untuk keluarga. Kerana kefahaman seumpama ini akan menjadikan anda menyerahkan tugas rumah tangga yang lain kepada isteri. Tanpa anda sedari isteri mula merasakan tugasan rumah tangga diletakkan ke atas diri mereka sahaja.

Anda perlu menyedari bahawa tugasan seorang isteri ibarat kerja 24jam sehari. Kerja tanpa henti. Sedangkan tugasan anda sebagai suami pula akan menjadi 8 jam sehari jika anda tidak menyedari peranan anda dalam rumah tangga yang anda bina.

Masing-masing mempunyai peranan dalam membina keluarga. Seorang suami perlu sedar anda tidak boleh membina kerjaya dengan cemerlang jika perihal yang berlaku di rumah juga tidak tenang. Jadi untuk itu anda perlu bertindak memberikan bantuan kepada isteri terhadap perkara-perkara selain dari kerja anda di pejabat. Mungkin anda merasakan kerja remeh dan tidak penting untuk anda, tetapi sedarilah bahawa itulah sebenarnya kekuatan hubungan rumah tangga yang sering diabaikan oleh seorang suami.

Bahasa ringkas yang perlu anda fahami, sebagai suami anda adalah pembantu juga kepada isteri dalam urusan rumah tangga.

Rumah Saya Dipecah Masuk

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Semalam adalah hari bersejarah juga dalam hidup saya. Beginilah ujian kehidupan terhadap manusia supaya sedar bahawa nikmat bukanlah milik mutlak manusia.

Sewaktu tiba di rumah jam lebih kurang 7.05 malam, saya sedikit hairan kerana melihat rumah yang tidak dikunci (kerana kunci mangga sudah hilang). Saya tidak terfikir langsung bahawa rumah akan dipecah masuk. Kerana ragu-ragu saya bertanyakan pada isteri sama ada dia terlupa mengunci rumah. Tetapi melihatkan kesan mangga yang bertaburan kerana dikopek pencuri.

Melangkah masuk sahaja ke dalam rumah, saya lihat tiada apa-apa yang bersepah. Namun saya segera melihat dua buah laptop yang berada di dalam rumah. Memang benar, dua-dua lesap. Lantas saya membuka almari buku, dua tabung syiling saya yang hampir penuh juga lesap. Akhirnya saya melihat telefon bimbit lama saya yang juga tersimpan dalam almari tersebut, memang hilang juga.

Berpatah kembali ke grill rumah, saya melihat kesan kopek tersebut sekali lagi. Dalam hati saya mengatakan pencuri ni masih amatur memandangkan cara dia mengopek pintu rumah saya.

Tanpa berfikir panjang saya segera ke tingkat bawah, terjumpa jiran saya Abang Wan. “Bang, rumah saya kena pecah masuk.” Saya terus menuturkan kepada Abang Wan tanpa berfikir panjang lagi. Abang Wan adalah bekas Setiusaha Persatuan Penduduk Flat Seri Tanjung. Dengan segera beliau terus menghubungi En. Amran, Pengerusi Persatuan Penduduk. Dalam lebih kurang 10 minit menanti, En. Amran tiba dan segera ke rumah saya. Dalam edisi siasat sambil mencari kesan lain yang ada, akhirnya kami menjumpai kesan kasut dalam rumah. En. Amran menceritakan bahawa kejadian pecah masuk di rumah saya adalah yang kelima berlaku dalam minggu yang sama. Dan kes di rumah saya adalah kes pertama melibatkan rumah berkeluarga.

Lepas Isyak saya sekeluarga segera ke Balai Polis Kajang untuk buat laporan. Dalam episod laporan dan soal siasat mengambil masa lebih kurang satu jam, 2 orang anggota polis terus ke rumah saya untuk siasatan lebih lanjut. Tetapi agak terkilan juga pihak polis hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk mencari kesan-kesan yang lain. Dengan mudah pihak polis memberitahu saya, “Minta maaf encik, rumah ni susah kami nak dapatkan kesan penuh cap jari sebab rumah tak berselerak. Kesan kasut yang encik cakap ni pun kami tak boleh kesan apa-apa.”

Hati saya agak kecewa kerana dengan soal jawab yang lama, hanya itu pihak polis berikan pada saya. Anda fikirkanlah!

Telatah Si Kecil

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setiap hari saya melihat perkembangan si anak kecil yang sangat mencuitkan hati. Memang benar bila ada anak banyak tekanan hidup tak terasa kerana melihat telatahnya yang comel. Bagi anda yang bakal mendirikan rumah tangga jangan tunda untuk dapatkan zuriat. Pada anak ada rezeki dan keberkatan hidup.

dah berlagak nak pegang botol susu sendiri

feel like passion

irdhina dan bantal bucuk kesayangan

umy & irdhina

manisnya dia..

cepatlah saya membesar!

Proses Pengurusan Diri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Lama tidak menulis di blog peribadi ini. Bukan tak mahu mencoretkan sesuatu, bahkan banyak sekali yang ingin dikongsikan kepada teman-seman semua. Namun kekangan begitu banyak menghalang untuk mencoretkan apa yang telah sedia tertulis di hati ini.

Sehingga hari ini terus terang saya katakan bahawa saya masih dalam proses mengurus diri untuk memenuhi komitmen-komitmen kerja, keluarga, impian peribadi, peluang kerjaya dan hal-hal lain. Bukan mudah untuk mengurus diri dalam sesuatu hal yang baru pastinya memerlukan banyak input untuk lebih memahaminya. Kerjaya sekarang banyak sekali menuntut diri untuk keluar dari rumah sememangnya sedikit sukar untuk mengisi posting harian di dua blog kesayangan saya ini.

Jawatan sebagai bapa dan suami pula pastinya dipenuhi memandangkan baru dua bulan lebih menerima kehadiran insan baru. Sangat seronok tetapi saya perlu lebih mengurus diri agar lebih dapat meringankan kerja-kerja rumah isteri tercinta.

Bila teringatkan misi tahun baru hari tu, perubahan terbaru perlu dilakukan kerana sekarang sudah masuk separuh untuk 2010. Teman-teman pula bagaimana? Tahniah bagi yang sudah mencapai kejayaan misi-misi peribadi anda. Doakan saya pula untuk berjaya sebelum masuk tahun hadapan.

Previous Older Entries Next Newer Entries