Seminggu Yang Begitu Mencabar Fizikal

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Rasa kekok juga menghadapi seminggu yang mencabar. Terasa macam ada sesuatu yang hilang apabila tidak dapat menulis di ruang ini. Namun komitmen masa, kerja dan keluarga pastinya itulah yang perlu diutamakan.

Kursus pada 21-22 April 2010

Sepertia biasa kerjaya sebagai konsultan akan memberikan komitmen dalam membangunkan modal insan diri dan orang lain dalam kursus-kursus motivasi yang dikendalikan oleh syarikat tempat saya bekerja. Kursus dua hari satu malam di Excel Training Resort dengan jumlah 140 peserta penjawat awam, alhamdulillah berakhir dengan baik sekali. Peserta pun nampak puas hati! Perkongsian hati ke hati pastinya akan beroleh hasil yang baik.

Pulang ke Besut

Kursus berakhir lebih kurang pukul 1.oo petang. Kemas barang-barang kursus, makan tengah hari dan post-mortem akhirnya membawa kepada pukul 4.oo petang juga. Ikutkan fizikal memang tak larat nak memandu dari Bangi – Besut yang memakan masa lebih kurang 7 jam. Kerana rindu pada isteri dan anak, semangatkan juga untuk memandu. Dah tiga minggu tinggalkan isteri dan anak kerana masih dalam tempoh pantang bersalin. Bukan main lagi rindunya. Biasalah baru bergelar ayah pastinya ini adalah ujian emosi yang hebat.

Perjalanan bermula 4.oo petang, saya tiba di rumah mertua saya dalam pukul 10.30 malam. Kalau tak silap berhenti sekali sahaja untuk jamak solat Maghrib dan Isyak. Nasihat saya pada anda kalau nak musafir jauh jangan memandu seorang diri kerana bahaya jika anda mengantuk. Saya sentiasa beringat tentang ini.

Seronok dapat jumpa keluarga.

Menuju ke Raub, Pahang

Sebenarnya saya pulang ke Besut untuk bawa isteri dan anak ke rumah ibu saya memandangkan dua minggu lagi isteri saya akan kembali bekerja. Baki cuti bersalin ingin dihabiskan di rumah ibu saya di Raub. Dari Besut saya kembali memandu ke Raub. Perjalanan mengambil masa 5 jam. Alhamdulillah saya sangat menikmati kepenatan ini kerana isteri dan anak ada bersama.

Jumaat di Raub memberikan ruang masa untuk rehat satu hari sebelum Ahad kembali memandu ke Bangi. Isnin kembali bekerja.

Advertisements