Bagaimana Membina Watak Anak Anda (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setiap ibu dan ayah pastinya sangat mendambakan anak soleh, mendengar nasihat ibu bapa dan tahu menghormati orang yang lebih tua. Watak anak sebegini perlu disemai dan diterap sejak dari kecil lagi. Bukan apabila sudah dewasa barulah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka tahu berfikir dan boleh menilai sebagaimana yang mereka inginkan.

Mendidik anak memerlukan kesabaran. Mahu anak yang hebat anda perlu membina watak hebat itu dalam diri mereka sejak mereka dalam kandungan lagi. Saya berikan contoh jika anda ingin anak yang dekat dengan Al-Quran maka anda boleh membina watak ini dengan banyakkan mendengar dan membaca Al-Quran. Banyakkan menghayati Al-Quran dengan membaca terjemahan dan tafsirnya. Insya Allah anak akan mempunyai kecenderungan ke arah itu.

Jika anda ingin anak anda hebat dalam matematik, banyakkan membuat latihan matematik ketika isteri anda dalam kandungan kerana sedikit sebanyak kecenderungan itu akan turun pada anak anda. Jadi begitulah juga dengan sikap dan emosi anak-anak anda. Jika inginkan mereka jadi anak yang soleh dan mendengar nasihat anda, terlebih dahulu anda perlu menjadi seperti itu. Jadilah seorang yang penyabar dahulu, barulah anak anda akan mengikuti kesabaran anda. Jadilah seorang menghormati ibu bapa jika anda mengharapkan anak anda menghormati anda apabila mereka dewasa.

Watak anak adalah dari watak ibu dan bapa mereka. Benarlah apabila orang-orang tua selalu memberikan kiasan dalam pepatah melayu bapa borek anak rintik, bermakna anak-anak akan mengikut watak dari ibu dan bapa mereka.