Trip To Padang (2)

Perjalanan Ke Bukit Tinggi

Pak Usman memang seorang professional sebagai tourist guide di sini. Saffira Tour telah membina hubungan dengan Tabung Haji Travel dalam tempoh yang lama. Setelah bagasi diletakkan di bahagian belakang bas, Pak Usman mengucapkan selamat datang kepada kami dan menyatakan bahawa kami akan terus menuju ke Bukit Tinggi yang merupakan antara destinasi wajib jika anda datang ke Padang.

Perut terasa lapar memandangkan bangun pukul 4 pagi. Nasib baik juga Pak Usman mengalas perut kami dengan air mineral dan juga kek lapis Padang yang sedap.

Perjalanan kami ke Bukit Tinggi mengambil masa lebih kurang dua jam walaupun hanya 80km memandangkan jalan raya di Padang yang sempit dan berbukit bukau. Tetapi apa yang menyeronokkan sepanjang perjalanan kami mata kami dibersihkan dengan suasana hijau yang sangat mendamaikan.

Padang dikelilingi oleh bukit-bukau dan gunung-ganang menjadikan udaranya lebih sejuk dan nyaman. Kami agak teruja apabila Pak Usman memberitahu destinasi pertama kami adalah ‘air terjun muda setahun’. Kami menggambarkan airnya pasti menyejukkan dan segar. Dalam perjalanan kami tidak puas untuk melihat kiri dan kanan, kagum dengan keindahan alam yang Allah ciptakan untuk manusia. Dalam lebih kurang 30 minit perjalanan kami tiba ke destinasi pertama…(to be continue)

Advertisements

Trip To Padang (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tiba di Padang

Awal Oktober yang lepas saya berpeluang mengikuti satu trip bersama syarikat ke Padang Sumatera Barat. Alhamdulillah walaupun pada awalnya tidak dapat difikirkan apakah yang menarik di Padang, namun setelah trip berakhir ianya membuka minda dan mata bahawa memang benar banyak berjalan luas pemandangan.

Padang merupakan ibu negeri Sumatera Barat mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri yang perlu anda fahami. Budaya dan adat penduduk Indonesia juga mula saya fahami sekalipun perjalanan ke sana hanyalah dalam pakej 4 hari 3 malam. Tidak cukup sebenarnya untuk dinilai dalam tempoh yang singkat.

Perjalanan dari LCCT ke Lapangan Terbang Minangkabau sebenarnya hanyalah 1 jam 10 minit, lebih dekat dari perjalanan LCCT ke Sabah atau Sarawak. Jadi anda sebenarnya berpeluang untuk ke Padang melihat sendiri keunikan masyarakat dan budaya di sana. Flight Airbus Air Asia  AK470 memulakan penerbangan ke Padang pada pukul 7.50 pagi dan tiba lebih kurang pukul 8.00 pagi waktu tempatan.

Cinta pandang pertama anda akan berputik apabila melihat kehijauan bumi Padang yang menghijau dan segar. Cuaca di sana juga nyaman dan sejuk memberikan sedikit perbezaan dengan cuaca di Malaysia yang agak panas. Selesai urusan imigresen di airport, kami disambut oleh Pak Usman yang merupakan pemandu pelancong sepanjang 4 hari kami di sini. Pak Usman menyambut baik kedatangan kami. Bekerja selama 15 tahun sebagai pemandu pelancong di Saffira Tour Indonesia pastinya kami amat senang dan teruja bersama Pak Usman…(to be continue)